Selamat Hari Guru

5/16/2012 10:57:00 AM





Pertama sekali dalam pembuka kata post kali ini ialah ucapan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik yang bakal disambut. Terima kasih di atas tunjuk ajar anda, dan yang teristimewa kepada guru-guru yang pernah mengajar saya, mencurah segala ilmu serta kasih sayang anda kepada saya. Walaupun didikan anda tak dapat membawa saya ke puncak tertinggi, namun jangan anggap anda tidak berjaya kerana anda semua adalah yang terbaik buat saya.
Sudah lama saya tinggalkan sekolah. Kalau masa-masa dulu semasa hari guru, memang tak lepas peluang juga meraikanya bersama rakan-rakan lain. Tak lupa juga cenderamata hasil kutipan wang kelas untuk dihadiahkan kepada cikgu. Dalam pada itu bagi saya, saya lebih suka ungkapan guru itu umpama lilin. Yang dikatakan membakar dirinya bagi menerangi orang lain disekiling. Guru-guru pada zaman saya, sememangnya dapat dilihat seperti itu. Tanpa mengira susah payah, upah, cuaca, suasana dan kenakalan pelajarnya, jasad guru tetap bersama semangatnya dalam membentuk peribadi tebaik semua pelajarnya.
Berbanding dengan zaman sekarang, ada di antara guru-guru yang tidak lagi mampu menjadi lilin tatkala di zaman maju ini. Ada sesetengah di antara mereka ada yang menjadi lampu suluh, menerangi sekeliling dengan bantuan bateri. Tanpa bateri maka tiadalah cahaya sinarnya. Lemah baterinya maka tetap juga lemahnya cahaya terangnya kepada sekelilingnya. Berbanding lilin, biar sependek mana hingga mencium lantai, cahayanya tetap menyinar sama rata selagi tidak terpadam.
Tiada niat mengata, menyindir, menuduh malah jauh sekali menyakiti hari warga pendidik. Namun hakikat itulah yang dapat dilihat zaman sekarang. Pengorbanan seorang guru terdahulu dengan sekarang amat berbeza sama sekali. Susah payah guru dahulu, senang lagi guru sekarang. Guru sekarang ada juga yang bijak mengkritik, mengeluh apatah lagi susah payah sukar ditanggung. Al maklumlah semua orang tahu, guru sekarang terpaksa buat kerja dengan tak cukup tangan, malah terlebih jari pula tugas mereka berbanding guru terdahulu.
Namun itu semua bukan alasan bagi warga pendidik dalam mengukur kerja dengan pendapatan. Banyak antara para guru mengejar pendapatan dan mengeluh akan pendapatan dan mula mengetepikan maksud sebenar yang hakiki akan perjuangan dan pengorbanan seorang guru sehingga ada yang mengabaikan tanggungjawab dan ada yang tersasar dari matlamat dalam menjadi warga pendidik. Wang memang penting pada zaman sekarang, tak kira guru, pengetua, mahupun pelajar sendiri perlu hidup selesa. Namun apa luahan seorang bekas warga pelajar seperti saya ingin melihat kembali pengorbanan guru sekarang menjadi terbilang seperti dahulu yang kini kebanyakkanya sukar dicari ganti. Melihat kejayaan pelajar adalah pendapatan yang berbaloi buat mereka berbanding dengan sekarang yang mengukur gaji yang berbaloi dengan tugasnya. 
Kepada semua warga pendidik, anda semua kebanggaan kami. Jadikan janji anda dalam membentuk kami antara yang terbaik kepada masyarakat melebihi segalanya dalam kerjaya anda. Walaupun zaman semakin moden, lilin tetap hebat jika dibanding dengan lampu suluh. Walaupun lebih kuno namun fungsinya tetap sama, cuma cara ia menerangi kita adalah berbeza. Walaubagaimanapun, warga pendidik tetap disanjung tinggi kerana tanpa bimbingan anda, kami tidak boleh berada dimana kami  berpijak sekarang. 

TERIMA KASIH CIKGU! 
MAAF ANDAI TERKASAR BAHASA! 
TIDAK TERNIAT DAN HANYA SEKADAR MUHASABAH BERSAMA.....

***NOTE : buat Guru2 pendidikku SMK Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah..... aku sayang cikgu semua!!! 2001-2007!! ^^

You Might Also Like

0 comments

Popular Posts